baca baca baca lah wahai ummat Nabi Muhammad......................
SEDAR DIRI SIKIT!!! UMNO DAHULU DAN SEKARANG by CheDet.
1) Pada 11hb. Mei 2013, UMNO merayakan hari penubuhannya yang ke 63
dengan sembahyang dan tahlil, ucapan bersemangat dari Presiden Najib Tun
Razak dan majlis makan malam. Tetapi UMNO pada 2013 ini bukanlah sama
dengan UMNO 1946.
2.) Pada 1946, pengasas UMNO yang berkumpul
di Johor Baru bersemangat untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari
kehilangan bangsa mereka, dari kehilangan tanahair mereka, dari menjadi
rakyat sebuah tanah jajahan British dan hilangnya Melayu di dunia.
3.)Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO pada masa itu ialah untuk
bangsa, agama dan tanahair. Tidak ada tujuan lain yang menggerakkan
mereka, sudah tentu tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi
pembesar negara merdeka dengan upah yang lumayan.
4.)Oleh
kerana itu mereka dihormati, dialu-alukan dan disokong oleh hampir semua
orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan jaguh dan orang Melayu datang
berduyun-duyun untuk menyertai parti UMNO yang ditubuh oleh mereka.
5.) Maka bersatulah Melayu, tanpa mengambilkira pangkat dan darjat,
tanpa mempedulikan berpelajaran Melayu, Inggeris atau agama. Mereka
semua Melayu samada dari negeri-negeri yang berlainan, dengan raja yang
berlainan, atau apa-apa lain yang membezakan mereka.
6.) Dan
berbaris padat dan rapatlah mereka untuk perjuangan yang suci,
perjuangan untuk menyelamatkan bangsa mereka, agama mereka dan negara
mereka. Mereka tidak takut, tidak gentar dalam menghadapi kuasa besar
British.
7.) Dan berjayalah mereka dengan menewaskan Malayan
Union, usul satu penjajah terkemuka, satu dari pemenang perang besar
dunia. Dan terdirilah negara bangsa Melayu yang merdeka yang dikenali
secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu. Nama Federation of Malaya
ialah terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu
sebagai bukan nama rasmi.
8.) Itulah UMNO enam puluh lebih
tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung oleh semua yang berbangsa
Melayu di negeri-negeri Melayu dan di mana-mana ada orang Melayu.
9.) Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang
tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang
Melayu meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu
ditolak pun.
10.) Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang
untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar,
berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya
sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan
diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.
11.) Untuk ini
mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan
kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak
ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu.
Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama
yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah untuk
pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian.
UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi
kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu
banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah
tidak sebanyak sebelum berkongsi.
12.) Apa itu perjuangan untuk
bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang sudah ada dalam UMNO, sebagai
pemimpin atau ahli biasa terdiri dari bangsa Melayu, yang beragama
Islam. Perjuangan untuk diri mereka bermakna perjuangan untuk bangsa
mereka, bangsa Melayu, agama mereka, agama Islam. Oleh itu perjuangan
untuk bangsa, agama dan negara sedang diteruskan, tanpa penyertaan
Melayu lain.
13.) Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah
selaras dengan pertumbuhan jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang
berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.
14.) Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan disbanding
dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah
melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan
dari ketua cawangan.
15.) Ketua cawangan manusia biasa yang
boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan
terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki
kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan
merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih.
16.) Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama semakin
kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang ahli
yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung
terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga
akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.
17.) Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.
18.) Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan
tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi
nampak kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang
utamakan kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain,
mereka akan sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk
baharulah sokongan kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU
13.
19.) Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih
menjadi parti yang menang terbanyak dalan PRU 13. Tetapi ini bukan
kerana orang Melayu masih sokong UMNO. Sebenarnya kemenangan UMNO dalam
PRU 13 disebabkan mereka tidak ada pilihan. Mereka amat takut
kalau-kalau Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP. Akan hancurlah
harapan orang Melayu sama sekali. Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau
Melayu, masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu.
Justeru itu tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO.
Namun demikian dalam PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini
berterusan. Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan
kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.
20. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan
usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan
yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain.
Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya.
Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat
Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak mencukupi. Mungkin
Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak
hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta,
kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan
mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku
kanak-kanak dizaman akan datang.
21.) Inilah masa depan yang
menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti yang cemerlang tetapi
sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan bagi yang tidak mahu
sedar dan tidak mahu membetulkan diri.
22.) Kata seorang
penulis sajak di zaman dulu, “tidak ada yang lebih menyayat hati dari
melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang”
No comments:
Post a Comment