NEGARA kita ini tidak semaju ini dengan sendirinya. Ada sejarah di belakangnya, di mana perjuangan dan pengorbanan Raja-Raja Melayu telah terbukti. Sebelum tahun 1951, rakyat di Tanah Melayu patuh kepada Raja-Raja di negeri mereka.
Kerakyatan  mereka adalah kepada Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing kerana  ketika itu belum ada Akta Kerakyatan dalam Persekutuan Tanah Melayu  (1948), kecuali Akta Kerakyatan di Negeri-Negeri Selat.
Jika kita  tidak membaca buku-buku sejarah negara kita, apatah lagi jika tidak  mengambil subjek Sejarah semasa bersekolah, apatah lagi kalau tidak  bersekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia,  maka hasilnya ialah kita tidak akan memahami betapa pentingnya  menghormati Institusi penting seperti Institusi Raja-Raja. Sebabnya  mudah, kita seolah-olah didatangkan dari satu planet asing kemudian  memilih untuk bermastautin tetap di sebuah tanah air yang berSultan.
Negeri Tiada Raja
Saya dilahirkan di sebuah negeri (Sabah) tanpa Sultan  atau Raja. Sepatutnya saya tidak perlu membela Raja-Raja Melayu ini,  namun saya melihat jauh dari itu, di mana tatkala negara kita pernah  mengharungi kesusahan, maka akhirnya rakyat kembali kepada Raja-Raja  juga untuk meminta pertolongan.
Pada tahun 1940an, apabila Raja-Raja Melayu didesak oleh seorang pegawai British  yang baharu saja ditukarkan dari Palestin ke Tanah Melayu untuk  menerima konsep negara baharu Malayan Union, akhirnya Raja-Raja Melayu  rela tunduk dengan desakan rakyat untuk menolaknya, dan mereka kembali  didaulatkan di singgahsana asalnya.
70 tahun  kemudian, apabila budaya baharu orang-orang yang terdidik dengan sistem  pendidikan barat sudah berjaya, mereka tidak merasa apa-apa untuk  menilai semula peri pentingnya  Institusi Beraja di Malaysia. Kedaulatan Raja-Raja itu bukan sahaja  daripada sistemnya, tetapi juga dari segi budayanya, amalan tata-susila  adatnya, nilai-nilai murni bangsa Melayu seperti hormat-menghormati dan  sebagainya.
Ada orang  sudah melihat sistem Institusi Beraja sebagai lapuk dan usang. Namun  mereka lupa, sistem Beraja inilah yang telah menyelamatkan mereka  daripada marabahaya yang lebih besar seperti kehilangan kuasa politik,  kehilangan survival bangsa dan seterusnya kehilangan tanah air ini  sendiri. Mereka berfikiran, kekuatan politik yang ada hari ini akan  berkekalan sampai bila-bila.
Cara Orang Melayu
Cara  orang-orang Melayu terdahulu berbicara dengan Raja-Raja mereka sangat  teratur. Baik orang Melayu itu keturunan DKA, DKK atau pun DKM (Baca  buku allahyarham A.Samad Ahmad, tokoh budayawan negara kita).
Apabila Raja  melakukan kesilapan, rakyat akan berseloka, memberi puisi dan pantun,  mendidik dengan ceritera dan tidak terus menusuk hati sang Raja. Kerana  orang-orang terdahulu tahu betapa pentingnya Institusi Beraja yang  menjadi bukti dan lambang kewujudan Bangsa Melayu di negara kita ini. 
Raja-raja  mungkin silih berganti, tetapi Institusi Raja-Raja itu jangan diganti,  jika tidak kamu boleh melihat Pulau Pinang dan Singapura hari ini.
Memang benar  sekarang zaman moden, tetapi ada cara yang sopan misalannya berpada kah  untuk menghantar sms, atau meluahkan amarah dan kebencian, tidak terus  menghunus bicara ke dalam jantung sang Raja. 
Persoalannya,  apakah Raja-Raja tidak pernah ada jasa kepada negara ini dan bangsa  ini? Jika kita tidak pernah hidup di awal tahun 1870an tatkala Raja-Raja  Aceh, Raja-Raja Johor, Raja-Raja Melaka, Raja-Raja Pahang dan Perak  termasuk Raja-Raja Kedah berhempas pulas menghadapi kekuatan  penjajah-penjajah seperti Siam, Jepun, Kerajaan Penjajah British,  Peniaga-peniaga British dan sebagainya, saya fikir kita harus  bermuhasabah.
Orang lain,  bangsa lain bahkan negara asing tidak mungkin akan menghormati Raja-Raja  kita ataupun Institusi Raja-Raja kita jika bukan kita sendiri yang  menghormatinya. Jika kita memperlekeh dan merendah-rendahkan imej  Raja-Raja kita, apakah bangsa lain atau orang lain akan menghormati  Institusi Raja-Raja kita. Bah kan, saya yakin bangsa kita pun akan  diperlekehkan oleh mereka.
Memang benar  Raja-Raja juga adalah manusia biasa, tidak maksum dan melakukan jua  kesilapan yang tidak disedari. UMNO khususnya sudah pernah menyedarkan  Raja-Raja kita melalui pindaan perlembagaan dahulu supaya mereka akan  lebih dihormati dan disayangi rakyat jelata. Di sebaliknya, apakah kita  pula menganggap diri kita tidak pernah melakukan kesilapan? Sesungguhnya  keegoan itu tiada di dalam ajaran Rasulullah SAW.
Negara Tanpa Raja
Mari kita  bayangkan sebuah kehidupan bernegara tanpa Raja atau tanpa Institusi  Raja-Raja Melayu yang fungsi besarnya mempertahankan kesucian Islam,  bangsa Melayu dan tanah air ini. Apakah kekuatan yang kita rasakan  sekarang ini, boleh memulihara seluruh generasi bangsa kita pada masa  akan datang? 
Jika  suatu hari kelak kamu tewas, kamu pasti akan digantikan oleh orang lain  sebagai Menteri, Timbalan Menteri, CEO dan sebagainya. Dan orang lain  itu tidak perlu Islam dan tidak perlu Melayu. Itu hukum demokrasi.  Percubaan di Perak pada tahun 2008 membuktikan Raja-Raja adalah benteng  terakhir bukan.
Namun,  jika seseorang Raja itu sudah tiada, baginda akan diganti oleh Raja  Muda atau keluarga DiRaja yang sudah pasti Islam dan pasti Melayu.  Mengapa? Kerana ianya adalah sebuah Institusi Raja-Raja yang terpulihara  dan warisan zaman-berzaman.
Makanya,  puliharalah sistem Institusi Beraja di negara kita melalui kata bicara,  tindakan dan bahasa yang lebih mulia. Tujuannya, supaya generasi bangsa  kita kekal survive walaupun ketika demokrasi sudah mati! 
Akhir  kata, di negara kita, masih ada Pengampunan DiRaja, sebaliknya tiada  pengampunan rakyat biasa walaupun berstatus Menteri! Maka, berbahasalah  kepada Raja-Raja kita. Ada cara yang lebih baik untuk menegur Sultan,  kepimpinan Sultan ataupun organisasi yang Sultan kita naungi!
Artikel dipetik dari jentayuabaka.
LIKE THIS PAGE

No comments:
Post a Comment