Sdr
semua, hari ini, 2 artikel saya disiarkan, 1. Utusan Malaysia dan 2.
kolum tetap saya Buka Minda, Sinar Harian. Baca dahulu artikel Utusan
hari ini. Esok, saya akan paparkan pula artikel Sinar Harian. Terima
kasih
(Utusan Malaysia 3.6.13)
Pantang saya menulis dalam akhbar Mingguan
Malaysia minggu lalu, menyentuh sedikit isu mengenai orang Cina, dunia bagai
nak kiamat. Diperbesar-besarkan oleh laman web ultra kiasu untuk dijadikan
bahan makian dan cacian. Seperti biasa, bukan hujah yang dibahas, peribadi
menjadi mangsa dan diserang. Terima kasih atas pemikiran kuno ini. Saya redha. Apa
yang penting, saya ingin rakyat marhaen sedar.
Sebelum mengulas lanjut, tahniah kepada
kerajaan Malaysia, kerana mengembalikan semula nama Kementerian Pendidikan daripada
Kementerian Pelajaran. Ada orang berkata, ada apa dengan nama. Pada saya,
memang ada pada nama. Beza antara nama orang Malaysia Cina dengan orang Cina
Malaysia. Di Indonesia, rata-rata menggunakan orang Indonesia Tionghua
berbanding orang Tionghua Indonesia. Nama
Indonesia (bangsa asal/negara) mesti berada di hadapan. Berbeza dengan
kita, bangsa mesti berada di hadapan. Siapa yang rasis? Lu fikirlah sendiri.
Sebab itu, saya tidak percaya bila ultra kiasu selalu berkata, I am Malaysian 1st.
Jika Malaysia didahulukan, bermakna
agenda nasional mesti diutamakan. Misalnya, bahasa kebangsaan, sekolah
kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, pakaian kebangsaan, upacara rasmi kebangsaan
dan banyak lagi yang bersifat kebangsaan. Adakah semua ini dihormati dan
disambut oleh ultra kiasu dengan baik dan berlapang dada. Lihatlah sahaja
majlis angkat sumpah perlantikan exco di hadapan Sultan Selangor dan TYT Pulau
Pinang. Itulah ragam ultra kiasu.
Paling sedih, sehinggakan ke peringkat,
mereka mahukan mensyaratkan menteri (timbalan) pendidikan mesti boleh berbahasa
Cina untuk berurusan dengan Cina dan menjaga sekolah Cina. Mereka
mempertikaikan perlantikan Dato Mary Yap sebagai timbalan menteri pendidikan,
kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Banyak cantik muka. Nasihat saya,
berhijrahlah ke tempat yang ada menteri sedemikian.
Ketika memberi respon, Yap dengan bangga berkata, beliau tidak perlu
malu kerana tidak boleh berbahasa mandarin, yang penting kena buat kerja. Ini
kenyataan seorang negarawan, bukannya seperti pertubuhan ultra kiasu tersebut.
Menurut Yap, walaupun tidak pandai
membaca dan bertutur dalam bahasa mandarin, itu bukan isu. Beliau menguasai bahasa
Melayu (BM) dan Inggeris (BI) dengan baik. "Saya juga ada pegawai untuk
bantu saya yang akan beri nasihat dan bacakan surat khabar Cina dan beritahu
apa yang dilaporkan. "Ada ramai
pemimpin di dunia yang tak fasih berbahasa Inggeris tapi disebabkan ada pasukan
yang kuat, mereka boleh bimbing negara dengan begitu berkesan,".
MP Tawau ini berpendapat, beliau
tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia. Beliau telah berkhidmat
di bawah kementerian pendidikan hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan
pelbagai kaum dan guru. "Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina
tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai
pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk
menyelesaikannya,".
Terus terang, untuk setakat ini, saya
kagum dengan pandangan sebegini, bertepatan dengan amalan 1Malaysia. Inilah
yang membezakan antara bukan Melayu (Cina) di Semenanjung dengan Cina Sabah dan
Sarawak. Cina Sabah Sarawak lebih terbuka dan tidak ultra kiasu, semangat
1Malaysia amat tinggi, berbanding sebahagian mereka di sini.
Kita perlu
banyakkan menteri (timbalan) bukan Melayu seperti ini. Kenapa Yap agak berbeza
dengan ultra kiasu yang lain? Hujahnya mudah, mereka lebih terdedah kepada
pribumi dan bumiputera di sana. Berbanding di sini, setiap hari sosialisasi
politik mereka dalam apa jua bidang amat bersifat ultra kiasu (perkauman)
Kita tentu masih ingat, sebelum ini ultra
kiasu mensyaratkan, guru-guru bukan Cina yang mengajar BM dan BI di SJKC mesti mendapat kredit bahasa Cina dalam
SPM. Jika tidak, mereka tidak layak untuk mengajar di SJKC. Kerajaan terpaksa
akur kerana mahukan undi mereka. Sebahagian besar guru-guru BM dan BI bukan
Cina telah dikeluarkan daripada SJKC. Begitu juga dengan kerani-kerani Melayu
pun di sana perlu menguasai bahasa Cina.
Saya tidak faham, kenapa dan mengapa
kerajaan tunduk dan akur kepada desakan ini, sedangkan semua sekolah ini berada
dalam sistem pendidikan negara berpaksikan perlembagaan, menjunjung agenda
negara. Semua gaji mereka dan prasana disediakan oleh kerajaan. PRU13
membuktikan, bahawa pemberian tidak dibalas. Apakah kita akan teruskan
permainan ini?
Bandingkan, sekolah agama (kebangsaan) tidak
pula mensyaratkan guru-guru bukan Melayu yang mengajar BI mesti boleh menguasai
bahasa Arab. Jika itulah yang dilakukan, bayangkan berapa banyak bantahan akan
dikemukakan kepada kerajaan kerana tidak berlaku adil.
Melalui sistem ini, bahasa Arab masih
boleh dikuasai, walaupun tidak sepenuhnya. Melayu tidak perlu menjadi orang
Arab untuk menguasai bahasa Arab. Sebab itu, sukar untuk saya diterima idea
untuk mencinakan sekolah Cina secina-cinanya, barulah bahasa Cina boleh
dikuasai dengan baik dan menjadi Cina tulen. Itupun kerajaan membenarkan
operasinya. Inilah toleransi orang Melayu yang tidak ada pada bangsa lain. Malangya
tidak dihargai.
Ingatan saya kepada kepada UMNO BN yang
menerajui kerajaan, jangan terlalu mengemis untuk mendapat simpati mereka. Jika
madu yang diberi, tuba yang dibalas, segerakan perlaksanaan BM sebagai
pengantar. Gunakan akta pelajaran 1996 untuk kuatkuasakan BM di semua jenis
sekolah, walaupun kuasa untuk menghapus sekolah vernakular sudah tidak ada lagi,
kerana peruntukan akta tersebut telah dihapuskan dengan kewujudan akta
pelajaran 1996.
Terbaharu, berlaku ‘percanggahan’
pendapat antara Ahli Lembaga Sekolah Chong Hwa dengan Dong Zong mengenai
kedudukan Sekolah Persendirian Cina (SPC) di Kuantan. Ahli lembaga SPC Chung
Hwa hanya mahukan satu sahaja di di Kuantan. Jika Dong Zong mahukan SPC lain,
cari tempat lain, tetapi bukan di Kuantan, takut berlaku persaingan.
Dong Zong tetap berkeras mahukan sebuah
lagi SPC di Kuantan. Persoalan saya, tidak cukupkah lagi apa yang ada? Perlukan
SPC menjadi secina-cinanya? Chong Hwa mahukan pelajarnya mengambil SPM dan UEC
sebagai menyahut seruan kerajaan. Manakala Dong Zong tidak bersetuju dengan idea kerajaan (juga Chong
Hwa) untuk menggunakan silibus kebangsaan dan medium bahasa Melayu. Chong Hwa
dilarang menduduki UEC yang dikendalikan Dong Zong jika mahu mengikut syarat
kerajaan.
Dong Zong hanya mahukan UEC yang tulen.
Dong Zong tidak mahu pelajarnya cair kecinaan, jika berada di Chong Hwa yang
mahu bertolak ansur dengan kerajaan dalam menjunjung agenda kebangsaan. Saya harap Kementerian Pendidikan yang baharu
dapat melihat perkara ini dengan serius.
Apakah kita ingin terus lahirkan manusia yang menterbalikkan jalur
gemilang seperti yang dilakukan oleh bekas pelajar UEC di Taiwan. Perkara ini
tidak mustahil berlaku lagi kerana jiwa ultra kiasu mereka sudah lama bersarang
dalam sanubari melalui pendidikan yang telah diperolehi.
Lebih ultra lagi, Gabungan
Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini bersungut mengenai komposisi
dalam senarai anggota kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil
daripada kaum Cina dalam untuk menyelesaikan masalah mereka.
Persoalan saya, di
manakah kita berada? Perlukah sangat menteri Cina untuk jaga orang Cina? Adakah
selama ini menteri Melayu tidak menjaga orang Cina? Siapa yang perlu menjaga
siapa? Siapa yang harus mengenang budi
dan membalas jasa siapa? Di China dan India, siapakah yang mewakili Cina (India)
Muslim di sana untuk mendengar masalah mereka? Sedarkah kita betapa
beruntungnya bukan Melayu di negara bertuah ini? Apa yang ada Melayu dan
bumiputera, tidak terdapat pada diri mereka hari ini?
Dengan sebab itu, saya amat risau idea
menjadikan BN satu parti. Kita mungkin bersangka baik. Orang lain bagaimana? Bahayanya,
apabila undian dijalankan, sudah tentu undi UMNO (Melayu) hanya ada satu,
berbanding 12 wakil parti komponen yang lain. Hanya UMNO sahaja yang akan
bercakap soal kepentingan Melayu (Islam). Itupun jika semua faham. Ada
segelintir dalam UMNO yang telah mati hati Melayunya kerana dikaburi oleh wang
yang digula-gulakan oleh ultra kiasu.
Selain itu, apa yang tergambar dalam
fikiran ultra kiasu ini? Bila idea ini dibangkitkan, ultra kiasu tanpa melihat
kedudukan mereka, mengeluarkan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri (TPM),
paling kurang mesti ada tiga iaitu TPM mewakili Sabah Sarawak, Cina dan India.
Yang peliknya, orang Sabah dan Sarawak tidak pula kedengaran membincangkannya
dengan serius! Kenapa ultra kiasu di Semenanjung begitu obsess dengan jawatan
TPM? Kenapa tidak sebut sahaja perlu ada jawatan 3 jenis PM?
Dalam kepala otak mereka, tidak ada
perkara lain, soal bangsa, bangsa, bangsa. Bagaimana dengan orang asli dan
etnik minoriti yang lain? Berapa banyak jawatan TPM hendak diwujudkan untuk
memuaskan hati semua pihak. Pada saya, yang paling layak untuk jadi TPM adalah,
orang Melayu, orang Asli dan wakil Sabah Sarawak. Titik. Kedudukan mereka
begitu jelas. Mereka layak menjadi TPM untuk Malaysia, kerana mereka tahu dan
faham sejarah Malaysia. Mereka menyahut agenda kebangsaan dan BM mereka
tip-top. Yang lain belum tentu.
Cuba intai-intai perbahasan ultra kiasu
dalam dalam parlimen selepas ini. Kalau boleh, kita tidak mahu dengar lagi
kata-kata; “tuan speaker, dengan izin”. Hanya kerana mereka tidak terjumpa atau
terlintas perkataan BM.
Sebagai menghormati negara ini
berasaskan kepada ketuanan Melayu dan Islam, tidak salah jika jawatan PM dan TPM hanya dikhususkan untuk
orang Melayu (Islam). Jawatan lain, kongsilah dengan bangsa lain. Perkara ini
adalah biasa dan lumrah. Apakah bukan Melayu tidak belajar daripada Singapura.
Pernahkah jawatan menteri kanan (perkhidmatan awam) diserahkan kepada orang
Melayu walaupun Singapura itu negara berasaskan ketuanan Melayu (Islam).
Janganlah hipokrit.
Jika benar BN nak dijadikan satu parti.
Perlu ada formula. Apa yang penting PM dan TPM mempunyai sifat negarawan. Setakat
ini saya hanya dapat lihat sifat ini ada pada orang Melayu (Islam), orang Asli
dan bumiputera. Bukan setiap etnik
diwakili melalui perlantikan sebagai
TPM. Saya yakin selepas bosan jadi TPM, mereka menuntut untuk menjadi PM pula.
Sekarang ini memanglah mereka berkata kononnya tidak berminat.
Kesimpulannya, pada saya, tidak
perlulah mengeluarkan kenyataan atau mendabik dada apabila dilantik menjadi
menteri, seraya berkata; “saya adalah menteri kepada Malaysia, bukan hanya
kepada UMNO BN”. Sudah difahami. Semestinya apabila dilantik menjadi menteri,
kita akan kepunyaan Malaysia atau negarawan. Itupun bukan bermakna, kita perlu
cairkan diri kita untuk meraikan orang lain. Agenda Melayu (Islam) mesti
diteruskan. Jati diri mesti diperkasakan.
Melayu tidak boleh hanyut dalam arus
sekular. Hati Melayu tidak boleh mati. Ini kerana bangsa lain, tidak pernah
cairkan identiti mereka atas semangat 1Malaysia. Misalnya, aktiviti belia dan
sukan. Identiti atau jati diri apakah yang akan mengakari? Di manakah kedudukan
kebudayaan kebangsaan, cara berpakaian dan sebagainya. Tidak cukup sekadar
menyanyi lagi IM4U. Tidak ke mana, jika kita tidak bertegas dalam soal jati
diri.-SUMBER
Prof Madya dr Mohd Ridhuan
Tee Abdullah
Ketua Program
Progra Pengajian
Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian
Pengurusan dan Pertahanan
Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia
No comments:
Post a Comment