LEMBAH BERINGIN - Seorang adik kepada bakal pengantin perempuan maut setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 410.3 arah Kuala Lumpur selepas susur masuk Plaza Tol Lembah Beringin, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Noor Syaliny Ab Sani, 21, maut akibat tersepit di tempat duduk belakang kereta jenis Toyota Corrolla sementara pemandu, Nasarul Zaharin Nasaruddin, 28, dan tunangnya, Noor Maznin Ab Sani, 27, hanya mengalami kecederaan di kepala.
Difahamkan, kedua-dua pasangan berkenaan bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada 28 Disember ini dan beberapa kad jemputan turut ditemui berselerak di atas jalan berikutan kemalangan itu.
Sumber berkata, kemalangan berpunca dari kegagalan pemandu mengawal kenderaan ketika melalui jalan basah menyebabkan keretanya terbabas ke kiri jalan dan merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di bahu jalan.
"Kereta mangsa dipercayai berpusing-pusing sebelum melanggar lori yang membawa muatan khinzir itu," katanya.
Sumber gambar: Ondscene.my
Sumber gambar: Ondscene.my
Pasangan berkenaan yang parah dikejarkan ke Hospital Slim River manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Zulkifli Bedin berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari kampung di Kuala Kangsar untuk ke Kuala Lumpur.
“Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta yang dipandu hilang kawalan disebabkan jalan basah dan licin kerana hujan lebat.
“Kereta berpusing beberapa kali sebelum merempuh sebuah lori yang (setakat ini) tidak diketahui nombor pendaftarannya,” katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan oleh Inspektor Maszaliza Ibrahim @ Othman di bawah Seksen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SinarHarian
No comments:
Post a Comment