Pages

Followers

ENTRI TERBARU MALAYAN FIGHTER

Monday, 9 December 2013

Ketegasan Sultan S’gor Pertahan Hak Melayu, Bumiputera Dan Kesucian Islam Ditunggu Rakyat



Ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam mempertahan hak orang Melayu dan bumiputera serta kesucian agama Islam dilihat suatu tindakan yang ditunggu-tunggu rakyat, kata bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Haniff Omar.


Beliau berkata kebijaksanaan melalui ketegasan yang dizahirkan menerusi titah-titah baginda sebelum ini menunjukkan institusi raja di negara ini masih utuh dalam menjaga hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu dan agama Islam.

Tambahnya, tindakan mempersoal ketiga-tiga perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu tidak seharusnya timbul kerana sumbangan dan peranan orang Melayu dalam membangunkan negara sangat besar.

“Semasa pembentukan Malaysia suatu ketika dahulu, penerimaan kewarganegaraan kaum Cina dan India adalah sumbangan yang tidak ternilai daripada raja-raja dan orang Melayu.

“Namun, dalam zaman pancaroba kini, ada sekumpulan pemimpin dan sebilangan kecil rakyat cenderung mempermain dan mempersoalkan isu-isu tersebut. Hati dan perasaan orang Melayu tidak lagi dipedulikan.

“Ia ibarat ‘grand design’ (rancangan besar) yang sedang digerakkan dan jika ia tidak dikawal dengan bijaknya, ia boleh menghancurkan negara, namun ketegasan baginda dalam menangani isu ini amat ditunggu-tunggu rakyat,” katanya dalam sembah ucapan pada Jamuan Teh Diraja bersama pesara kerajaan sempena ulang tahun ke-68 Keputeraan Sultan Selangor di perkarangan Istana Alam Shah, Ahad.

Sultan Sharafuddin turut berkenan bersama pesara-pesara kerajaan itu pada majlis berkenaan yang masuk tahun ketiga penganjurannya.

Mohammed Haniff berkata pesara kerajaan yang menetap di negeri ini perlu bersyukur kerana berada di bawah naungan seorang sultan yang sangat prihatin terhadap rakyat malah sentiasa mengambil berat tentang keadaan semasa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh ketika ditemui berkata pesara kerajaan disaran menjadi agen transformasi rakyat dalam memperbetul kelemahan tanpa menyebelahi mana-mana parti politik.

“Sultan Selangor sendiri lantang mempertahan kesucian agama dan keistimewaan orang Melayu, maka kita perlu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk memperbaiki kelemahan yang ada dengan menggunakan saluran yang betul agar keamanan negara terus terpelihara,” katanya.-perakToday

No comments:

Post a Comment

DARAH SATRIA

Popular Posts

Entri Malayan Fighter

SILA KLIK PIC