Pages

Followers

ENTRI TERBARU MALAYAN FIGHTER

Monday, 21 October 2013

BANGUNLAH MELAYU SEBELUM LAYU-RIDHUAN TEE ABDULLAH



Saya hairan kenapa ada kalangan orang Melayu yang memandang rendah kepada kedudukan Bahasa Melayu (BM), sedangkan bahasa ini pernah menjadi lingua franca suatu masa dahulu, dipertuturkan begitu ramai sekali. Lebih hebat lagi BM sebagai bahasa perpaduan kalangan bukan Melayu.

Bayangkan ketika interaksi antara dunia luar dengan dunia Melayu. Bahasa apakah yang digunakan? Terutama interaksi antara pedagang (pendakwah) Arab, China dan India yang datang ke alam Melayu.


Mustahil sama sekali Cina, India atau Arab saling bertemu, mereka bertutur bahasa masing-masing. Sudah tentu bahasa pengantaranya adalah bahasa Melayu. Jika tidak, susah mereka nak cari makan di Alam Melayu. Kenapa mereka boleh memaksa diri belajar BM? Kenapa rakyat negara kita, sekian lama tinggal, begitu liat, sehingga ada tidak boleh faham dan bertutur? Silapnya di mana?

Justeru, saya amat kagum dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang beriltizam untuk meningkatkan penggunaan BM dengan memberi insentif kepada pengamalnya seperti kenaikan pangkat dan sebagainya.

Tidak ada sesiapa menolak kepentingan bahasa lain, terutama Bahasa Inggeris (BI). Bodohlah sesiapa yang menolak bahasa antarabangsa ini. Tetapi jangan sampai BM seperti hidup segan mati tak mahu. Inilah hakikat berlaku sekarang.

Boleh dikatakan seluruh IPTA sedang alami proses pengInggerisan, termasuk universiti saya bekerja. Lebih malang lagi, semua profesor dan pensyarah diwajibkan menduduki ujian BI untuk menguji level bahasanya. Adakah ini wajar?

IPTS usahlah diceritakan. Telah lama mengalami proses peInggerisan dan pemandarinan seratus peratus. Alasan diberikan, kita menuju proses pengantarabangsaan. Wajarkah identiti negara dikorbankan untuk proses pengantarabangsaan tersebut?

Adakah kemajuan sesebuah negara itu bergantung pada sikap warganya atau kebolehan mereka berbahasa Inggeris?

Negara lain seperti China, Korea, Jepun, Jerman dan sebagainya, termasuk juga Thailand, teramat kuat semangat kebangsaan dan kecintaan terhadap bahasa mereka. Negara-negara ini tetap maju tanpa mengalami proses peInggerisan. Produk-produk mereka, termasuk kereta tetap berkualiti tinggi.

Kita perlu ada dasar yang jelas demi masa depan jati diri negara. Generasi muda ultra kiasu hari ini, sudah langsung tidak mempedulikan kepentingan BM. Mereka hanya mahukan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sahaja.

Justeru, kenyataan TPM tepat pada masanya. Minta DBP perincikan untuk dimaktubkan sebagai dasar dan beri kuasa kepada DBP untuk melaksana.

Saya mohon ucapan TPM ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 diperhalusi.

Beri keutamaan kepada golongan pensyarah di IPTA dan IPTS menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Nilai dan insentif yang tinggi perlu diberikan terhadap hasil karya mereka.

Malangnya, ketika menggubal dasar universiti baru-baru ini, markah yang diberikan kepada penerbitan BM amat sedikit berbanding BI. Bila saya membangkitkan perkara ini, mereka berkata, BM bersifat lokal, BI bersifat internasional. Apa-apa pun BI mesti diberi keutamaan termasuk menjadi bahasa rasmi universiti. Inilah pemikiran Melayu hari ini. Bukan Melayu usahlah cerita. Kalau boleh perkataan Melayu itu sendiri mereka tidak mahu lihat.

Lihatlah apa sudah jadi dengan Universiti Malaya (UM). UM sedang mengalami proses pembaratan. Maklumlah mahu jadi internasional. Malangnya, ranking tidak juga naik-naik. Universiti Islam Antarabangsa, sejak awal penubuhannya menggunakan BI, masih lagi merangkak-rangkak mengejar ranking dunia. Begitu juga dengan UiTM yang begitu kuat semangat Melayunya juga menggunakan BI.

Universiti di China, Jepun, Korea, Jerman dan sebagainya, tidak pula mengikuti proses pembaratan dan peInggerisan. Bahasa yang digunakan tetap bahasa ibunda mereka. Kita, yang melanjutkan pelajaran di sana, mesti belajar bahasa mereka. Ranking dunia mereka tetap berada dalam kedudukan amat membanggakan.

Salah di mana sebenarnya? Ikut barat? Atau kembali melihat kualiti dan kekuatan jati diri. Bangunlah wahai semua naib canselor dan profesor. Sahutlah cabaran TPM tersebut. Kembalilah menghayati sejarah Melayu! Melayu pernah jadi hebat dengan semangat Melayunya.

Saya amat mengharapkan TPM dapat menggariskan satu dasar agar BM tidak menjadi bahasa tumpangan sahaja di universiti.

RIDHUAN TEE ABDULLAH
21 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment

DARAH SATRIA

Popular Posts

Entri Malayan Fighter

SILA KLIK PIC