Pages

Followers

ENTRI TERBARU MALAYAN FIGHTER

Friday 18 October 2013

Polis Buru 8 Lelaki Tetak Peniaga Besi

gambar hiasan

GEORGETOWN - 17/10/2013 Polis sedang mengesan lapan lelaki yang dipercayai menetak seorang peniaga besi buruk sehingga jari kakinya hampir putus di Kampung Manis, Perai semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata pada kejadian pukul 6.10 petang itu mangsa S. Munian, 27, berada di gerai makan milik ibu kawannya sebelum lapan suspek berusia sekitar 20-an datang dengan menaiki motosikal dan menyerangnya.
"Empat daripada mereka yang membawa parang terus mengejar mangsa. Ketika cuba menyelamatkan diri mangsa terjatuh. Kemudian suspek terus melibaskan parang secara membuta tuli menyebabkan mangsa patah tulang bahu sebelah kiri, tulang lengan kanan, luka di perut dan belakang kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun ibu dan rakannya tidak dicederakan oleh suspek yang memakai topi kaledar lengkap dengan cermin penutup muka.

Mangsa yang bekerja sebagai penjual dan pembeli besi buruk dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya dan keadaannya dilapor stabil.

Beliau berkata polis masih belum mengambil keterangan dari mangsa berikutan keadaaannya masih lemah dan percaya kejadian itu bermotif dendam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menghubungi balai polis berdekatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki kerugian puluhan ribu ringgit dalam kejadian samun berdekatan Masjid Seberang Jaya malam tadi.

Mohd Nasir berkata pada kejadian pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia 29 tahun turut dipukul tiga penjenayah yang bersenjatakan kayu sebelum mereka merampas dompet yang berisi wang tunai kira-kira RM2,000 dan juga kereta Proton Persona miliknya.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah dikatakan berhenti sebentar untuk membuang air kecil di lorong gelap berhampiran masjid berkenaan sebelum dihampiri suspek terbabit.

"Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana kejadian berlaku dengan pantas selain keadaan di situ gelap," katanya.

Sumber - Bernama (Photo Hiasan)

No comments:

Post a Comment

DARAH SATRIA

Popular Posts

Entri Malayan Fighter

SILA KLIK PIC