Pages

Followers

ENTRI TERBARU MALAYAN FIGHTER

Thursday, 24 October 2013

KDN Perkenalkan SOP baharu tangani kehilangan senjata api!!



KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kementerian Dalam Negeri telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang tegas dalam menangani kes kehilangan senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, menerusi SOP itu, pelbagai garis panduan perlu diikuti setiap anggota atau pegawai polis yang membawa senjata api termasuk dalam operasi-operasi.


''Tindakan tegas akan diambil dan SOP ini dikuat kuasa seberapa ketat supaya kehilangan senjata di tahap minimum. Dalam kes kehilangan 44 senjata api berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, tujuh anggota polis telah dikenakan tindakan disiplin dan yang lainnya sedang dalam siasatan.

''Sejak 2010, sebanyak 24 orang anggota telah diambil tindakan sama atas kehilangan senjata api. Garis panduan pengendalian senjata api sebenarnya sudah ada, SOP kita jelas. Tetapi dalam keadaan sedemikian, kalau hilang senjata api, laporan perlu dibuat sehingga boleh dipanjangkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang ingin tahu tindakan kerajaan dalam menangani kes-kes kehilangan senjata api milik PDRM.

Wan Junaidi menambah, tindakan keras seharusnya diambil terhadap anggota serta pegawai polis yang cuai dalam pengendalian senjata api termasuk kes-kes kehilangan senjata berkenaan.

Menjawab soalan asal Siew Fook mengenai jumlah senjata api yang dirampas polis daripada penjenayah sejak 2008 sehingga kini, beliau menjelaskan kebanyakan senjata api haram yang dirampas dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui pintu sempadan selain senjata api buatan sendiri.

Menurutnya, bilangan senjata api yang dirampas mulai 2008 sehingga September lalu adalah sebanyak 1,097 unit seperti pistol semi automatik (406 pucuk); revolver (164 pucuk); raifal (31 laras); senapang patah (91 laras); pistol angin (120 pucuk); pum gun (22 laras); sub mesingan (tujuh laras); bom tangan (38 butir) dan 218 laras senjata buatan sendiri.

Menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai tindakan kementerian untuk memastikan penyeludupan senjata api dapat dibanteras, katanya, kawasan sempadan negara adalah cukup luas dengan penyeludup sentiasa menukar modus operandi termasuk menyeludup senjata api menerusi pecahan-pecahan bahagian senjata itu.

''Contohnya saya ke Kelantan, di Sungai Golok tiada pagar. Ada cadangan supaya perkampungan di sepanjang sungai itu dipindahkan ke tempat tertentu bagi membolehkan pagar dipasang dan selepas itu boleh kita tangani penyeludupan," jelasnya. - UO

No comments:

Post a Comment

DARAH SATRIA

Popular Posts

Entri Malayan Fighter

SILA KLIK PIC