Pages

Followers

ENTRI TERBARU MALAYAN FIGHTER

Monday, 14 October 2013

PANAS: ISU KALIMAH ALLAH 14 OCT 2013,HARI INI ADALAH PENENTU!!!!



TARIKH 14 Oktober 2013 merupakan tarikh yang penting, iaitu tarikh yang telah ditetapkan untuk mahkamah rayuan membuat keputusan tentang rayuan mengenai keputusan mahkamah yang terdahulu bahawa nama “ALLAH” boleh digunakan oleh penerbitan Kristian bagi nama “God” yang selama ini digunakan sebagai nama Tuhan mereka.

Mereka mahu menggunakan nama “ALLAH” juga bagi Tuhan mereka, yang bakal mereka hujahkan bahawa “ALLAH” adalah juga nama Tuhan mereka, tidak hanya khusus untuk nama Tuhan bagi penganut Islam.


Apa-apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mahkamah pada 14 Oktober ini adalah berdasarkan rule of law dan point of law yang seharusnya diterima dengan hati yang terbuka, dan tidak seharusnya menimbulkan sebarang kegelisahan yang tidak menentu, atau kebanggaan yang melampaui batasan.

Dibenarkan atau tidak dibenarkan penggunaan nama ALLAH bagi agama yang lain dari agama Islam untuk menterjemahkan istilah God itu tentunya tidak akan mengubah konsep dan pengertian suci nama ALLAH bagi anutan dan akidah umat Islam bahawa Allah adalah Tuhan yang maha esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Hal ini saya sebutkan supaya umat Islam bersedia dengan dada dan hati yang terbuka untuk menerima keputusan mahkamah 14 Oktober ini, sama ada akan menyebelahi pihak yang merayu, atau mengekalkan keputusan mahkamah yang terdahulu.

Al-Quran banyak sekali membawakan cerita penentangan kaum terdahulu terhadap para Nabi dan Rasul yang telah membawakan ajaran ALLAH untuk tidak mempersekutukan ALLAH.

Terdapat di antara para Rasul itu yang dibunuh dan terdapat juga diantara mereka yang disakiti, tetapi perbuatan ini tidak menjejaskan perkembangan ajaran ALLAH kepada umat manusia sehinggalah ke zaman Rasulullah SAW dan seterusnya berkembang sehingga ke masa kini dan ke masa yang akan datang, Insya-ALLAH.





Tanggungjawab yang amat penting bagi umat Islam ialah memahami hakikat kewujudan ALLAH dan zat-Nya serta konsep Tuhan yang maha esa itu seperti yang banyak dijelaskan oleh Al-Quran sendiri.
Sekiranya hakikat ini dapat difahami dengan baik, dan dididik pula generasi baru untuk memahami hakikat dan konsep ini dengan semasak-masaknya, maka biarlah seluruh dunia menggunakan apa-apa saja istilah pada nama Tuhan mereka, termasuk nama ALLAH, namun umat Islam tetap yakin dengan konsep penggunaan nama ALLAH bagi Tuhan umat Islam sendiri.

Bagi umat Islam penggunaan nama ALLAH sebagai nama Tuhan mereka adalah sesuatu yang mempunyai hubungan yang penting dengan akidah dan syariah mereka, kerana sebarang istilah agama bagi umat Islam bukan hanya merupakan istilah bahasa dan semantik semata-mata, tetapi istilah itu merupakan sesuatu yang datang dari ajaran Islam sendiri dalam akidah dan syariahnya.
Umat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam di negara kita ini amat mengetahui budaya dan tradisinya dalam beragama, dan hal inilah juga yang difahami dari penggunaan nama ALLAH untuk umat Islam dalam bahasa Melayu.

Kerana bahasa Melayu yang lahir dalam penggunaan istilah agama sering membawa konotasi budaya dan tradisi bahasa Melayu sendiri dalam hubungannya dengan agama Islam, yang ada kalanya berbeza dari tradisi dan penggunaan bahasa lain, sekiranya hal ini juga akan dihujahkan tentang penggunaan nama ALLAH dalam budaya dan bahasa Melayu dibandingkan dengan bahasa lain, termasuk bahasa Arab sendiri.

Oleh itu, seandainya keputusan mahkamah tidak menyebelahi kehendak umat Islam, maka saya percaya bahawa umat Melayu dan Islam di Malaysia akan terus bersikap mesra dan redha, kerana umat Melayu sememangnya mempunyai sifat tolak ansur yang amat tinggi dan tidak semudahnya hilang pertimbangan dan rasionalitinya.

Harap para penganut agama lain juga memahami situasi ini dan seharusnya bertolak ansur dan berusaha memahami perasaan dan sikap umat Melayu Islam di negara ini.

Umat Melayu yang telah sedia dengan sikap sederhana dan amat bertolak ansur ini telah bertambah etika dan nilai moralnya itu dengan kedatangan Islam dan ajarannya.

Hal inilah yang seharusnya difahami dan dipupuk terus menerus, malah dihormati dan dimengerti oleh umat lain, di mana sempadannya, dan dimanakah hadnya.

14 Oktober 2013 bukan bermakna tarikh berakhirnya dunia ini.
Datuk Dr Ismail Ibrahim bekas Ketua Pengarah Ikim

No comments:

Post a Comment

DARAH SATRIA

Popular Posts

Entri Malayan Fighter

SILA KLIK PIC